KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 hari ini menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Tindakan Awal bagi Kesiapsiagaan dan Respons Bencana.
Ini sebagai bukti komitmen bersama negara anggota dalam memperkukuh kerjasama serantau menghadapi ancaman bencana dan krisis kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu melambangkan pengiktirafan sejagat terhadap kepimpinan ASEAN sebagai pemacu utama kerjasama serantau.
"Kita akan terus menggalakkan dialog melalui kerjasama, memperkukuh kemajuan melalui persefahaman dan mempererat hubungan melalui pertemuan.
"Kita juga akan memastikan keamanan dan keselamatan global berteraskan multilateralisme serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa." kata beliau ketika berucap pada sidang kemuncak tersebut di sini.
Datuk Seri Anwar turut mengalu-alukan pelan komprehensif untuk menamatkan konflik di Gaza, yang disifatkannya sebagai permulaan penting untuk menghentikan kekejaman dan memastikan keamanan yang adil serta berkekalan bagi rakyat Palestin.
Selain itu, beliau memuji kerjasama pihak berkuasa Myanmar yang membenarkan hospital medan Malaysia beroperasi di negara itu, serta mengiktiraf kemajuan hasil sesi dialog bersama 27 kumpulan pembangkang dan parti etnik yang diadakan di Kuala Lumpur.
"Pada Myanmar, ini telah diterima oleh rakan-rakan ASEAN. Semalam, kami masih komited untuk menghormati konsensus lima perkara," kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan penyelesaian damai dalam isu Laut China Selatan, melalui rundingan Code of Conduct dalam kerangka ASEAN tanpa campur tangan kuasa luar.