fb fb fb fb fb

Dua maut dirempuh kereta dipandu remaja bawah umur

Foto RTM

PERAI, 11 November - Sepasang kekasih yang bakal bertunang Disember ini maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu remaja bawah umur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Tan Cheng San berkata dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai itu mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan termasuk kereta dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun. Hasil siasatan mendapati, kereta remaja berkenaan melanggar sebuah lori sebelum hilang kawalan dan merempuh motosikal mangsa.

"Remaja berkenaan cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Tan berkata, mayat kedua-dua mangsa berusia awal 20-an itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Remaja itu katanya kini ditahan reman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN