fb fb fb fb fb

Harimau baham lembu, penemuan bangkai haiwan itu resahkan lebih 50 pekebun

Penduduk Aris Awang, 53, menunjukkan bangkai lembu betina miliknya yang berada di pinggir bukit dipercayai diheret harimau di Kampung Kundur / Foto Bernama

GUA MUSANG, 11 November - Penemuan bangkai lembu bunting dipercayai dibaham harimau belang meresahkan lebih 50 pekebun di Kampung Kundur, di sini.

Pada kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, bangkai lembu itu ditemukan bukan sahaja terkeluar janin tetapi terdapat kesan kecederaan pada leher dan cakaran kuku harimau.

Pemilik lembu, Aris Awang berkata dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan penternak lain yang melalui kawasan berkenaan.

Katanya, serangan harimau belang itu adalah kali pertama berlaku di kawasan tersebut.

"Lembu ini bunting. Kecederaan di leher dan dimakan. selama ini ada kesan tapak kaki tetapi atas bukit. Cuma kita takut sekiranya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak bertindak semakin banyak lembu mati," katanya.

Pekebun dan penternak, Mohd Faizul Mohd Nor pula berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak ternakan lain terkorban akibat serangan haiwan pemangsa itu.

"Kita runsing juga, kalau boleh harap Perhilitan ambil tindakan segeralah sebab banyak lagi lembu dalam ladang ini, sebelum ini tiada lagi kejadian," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berharap tindakan susulan seperti pemasangan perangkap dan pemantauan Perhilitan perlu dilakukan bagi meredakan kebimbangan pekebun di kawasan tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN