(Datuk Armizan menyampaikan sumbangan kepada kepada
Siti Esah Hassan, waris Nurul Azwani Kamaruzaman )
KUALA LUMPUR, 28 DIisember- Dua lagi waris mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali menerima Bantuan Wang Ihsan.
Bantuan yang diumumkan Perdana Menteri pada 16 Disember lalu disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali di ibu negara.
Datuk Armizan bersama Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan pengurusan NADMA hadir sendiri ke kediaman Tong Chee Kong di Sentul bagi mengucapkan takziah dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 atas kehilangan isteri dan anak tunggalnya.
Seterusnya sumbangan sebanyak RM10,000 disampaikan kepada Siti Esah Hassan yang kehilangan anak perempuannya Nurul Azwani Kamaruzaman dalam tragedi tersebut.
Setakat hari ini, 11 waris mangsa meninggal dunia telah menerima sumbangan tersebut.
"Ada 20 orang lagi penerima dan kita akan teruskan minggu ini kerana difahamkan ada juga keluarga yang masih lagi berkabung, belum bersedia menerima tetamu.
"Sebaik sahaja mereka bersedia kita akan menghantar wakil untuk menyampaikan salam takziah kepada mangsa insiden yang cukup mendukacitakan,"kata Datuk Armizan.
Mangsa-mangsa yang terlibat adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.
(Datuk Armizan menyampaikan sumbangan kepada Tong Chee Kong yang
kematian isteri dan anak tunggalnya / FOTO NADMA)