fb fb fb fb fb

Karnival MAIWP bakal rai 100 pengantin asnaf dan mualaf

(Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar ditemu bual media selepas majlis prapelancaran Karnival
MAIWP 2023 di Kuala Lumpur) 

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal meraikan 100 pasangan pengantin kalangan asnaf dan mualaf sempena Karnival MAIWP 2023.

Menurut Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP itu merupakan tarikan utama karnival yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Januari 2023 di samping mampu memperkenalkan peranan MAIWP kepada masyarakat.

"MAIWP telah mengambil satu pendekatan mengeluarkan MAIWP daripada bangunan, daripada pejabat ke Dataran Merdeka dengan program-program yang terbuka untuk masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk datang melihat apa yang MAIWP telah lakukan selama ini," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Karnival MAIWP 2023 di sini hari ini.

Majlis Walimatul Urus Perdana tersebut bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setiap pasangan juga bakal menerima sepersalinan pakaian pengantin dan sumbangan wang tunai RM2,000 seorang.


(Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bergambar selepas majlis prapelancaran Karnival
MAIWP 2023 di Kuala Lumpur) 

Selain itu, Karnival MAIWP 2023 juga akan dimeriahkan dengan Karnival Usahawan dan Pendidikan, yang membabitkan penyertaan 100 gerai jualan oleh usahawan asnaf, pempengaruh serta selebriti.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan penyampaian anugerah kepada Ikon Usahawan Asnaf dan Ikon Pendidikan Asnaf MAIWP.

MAIWP turut mengalu-alukan pembayar zakat, golongan orang kurang upaya (OKU), penghuni rumah perlindungan dan maahad tahfiz, anggota badan beruniform serta orang awam untuk menyertai MAIWP Run bagi mengumpul penyertaan seramai 10,000 orang.

Karnival selama dua hari itu juga akan diserikan dengan persembahan beberapa kumpulan nasyid antaranya Raihan, Rabbani, Inteam, Aydan dan juga Nada Murni.

Media Baharu