fb fb fb fb fb

Dua kapal asing ditahan di perairan Johor

(Kapal tangki dari Panama ditahan kerana bersauh secara haram di perairan Johor)

KOTA TINGGI, 14 Januari- Dua buah kapal asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Zon Maritim Tanjung Sedili kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur, semalam.

Pemangku Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najib Sam dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kapal masing-masing sebuah dari Hong Kong dan Panama itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh.

Pemeriksaan mendapati kapal pengangkut dari Hong Kong tersebut dikendalikan oleh 19 kru lelaki warga Filipina dan China yang berumur 25 tahun hingga 53 tahun.

Kesemua mereka ditahan di kedudukan 23.9 batu nautika timur laut Tanjung Siang, sekitar pukul 1.00 tengah hari.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, satu lagi kapal tangki dari Panama pula dikendali oleh 25 kru lelaki warga Ukraine, Pakistan, Iran, Georgia, India, Filipina dan Russia yang berumur 27 tahun hingga 53 tahun.

Kapal tersebut ditahan di kedudukan 31 batu nautika timur laut Tanjung Gemoh pada pukul 4.10 petang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran/kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia.

"Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebii RM10,000 atau penjara atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

 (Kapal pengangkut dari Hong Kong yang ditahan di perairan Johor dikendalikan oleh
19 kru warga Filipina dan China)

Media Baharu