fb fb fb fb fb

Dua cedera, kemalangan lima kenderaan

 (Kemalangan melibatkan lima kenderaan di km 42.9 Lebuhraya KLK)

KUANTAN, 23 Disember- Dua lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat Bentong, tengah hari tadi.

Kemalangan yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan dua buah lori, dua buah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Zulfadli berkata kedua-dua mangsa itu mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, rawatan awal diberikan kepada mangsa yang terlibat sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, pihak konsesi Anih Berhad menerusi Facebook rasmi memaklumkan, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan di lokasi kemalangan dan dijangka selesai sebelum pukul 6.00 petang ini.

"Setakat ini, laluan kiri dan kanan telah dibuka untuk pengguna, manakala lorong kecemasan masih ditutup. Kerjasama anda dalam merancang perjalanan amat dihargai.

"Sila pandu dengan berhati-hati dan patuhi arahan petugas dilokasi," katanya.

 
(Dua cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di km 42.9 Lebuhraya KLK)

Media Baharu