fb fb fb fb fb

Dua buah lori kemalangan, satu maut satu cedera

Anggota memadamkan kebakaran pada lori 'bonded' dan belakang lori treler di Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong/Foto Facebook Bomba

BENTONG, 13 Mei- Seorang lelaki rentung dalam lori yang dinaikinya selepas merempuh belakang sebuah lori treler yang berhenti di tepi jalan berhampiran Bulatan Mempaga laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.44 pagi.

"Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama-sama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, lori 'bonded' didapati terbakar 100 peratus dan menyebabkan seorang mangsa di dalam lori berkenaan rentung manakala seorang lagi mangsa dalam lori treler cedera," katanya

Bahagian belakang lori treler terbakar namun pemandunya mengalami kecederaan dan dilaporkan selamat.

Menurut Zulfadli Zakaria, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 6.03 pagi dengan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba.

Sementara itu mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI