KUALA LUMPUR, 6 November- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWM) telah menyiapkan draf Rang Undang-Undang Profesion Pekerja Sosial (PKS).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan draf RUU PKS antaranya merangkumi penetapan dasar pelaksanaan yang bukan hanya terpakai kepada pekerja sosial sektor swasta, malah boleh dipraktikkan penjawat awam yang melakukan perkhidmatan sosial di luar tugasan rasmi.
Tambah beliau, kementerian turut melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk agensi persekutuan dan kerajaan negeri, syarikat korporat, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan pandangan sebanyak mungkin.
"Hasil dari semua sesi libat urus yang dijalankan, pelbagai maklum balas telah diterima dan dipertimbangkan KPWKM ini termasuklah isu penetapan dasar RUU seperti, definisi pekerja sosial serta persoalan pemakaian akta itu kelak kepada pekerja sosial dalam sektor swasta dan awam," ujar beliau.
Mengulas lanjut katanya, KPWKM juga ketika ini sedang menilai semula dan meneliti keperluan perubahan dasar dan kebolehlaksanaan RUU tersebut.
Sekiranya terdapat keperluan meminda penetapan dasar RUU sedia ada, Datuk Seri Nancy berkata sesi libat urus lanjut bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang mempunyai perjawatan pekerja sosial akan diadakan.
Selain itu, beliau turut memberitahu mekanisme kawal selia RUU Profesion Pekerja Sosial akan dapat diperhalusi selepas penetapan dasar RUU tersebut dimuktamadkan.
Beliau menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berhubung mekanisme RUU berkenaan di Dewan Rakyat.