fb fb fb fb fb

Dr Wan Azizah sampaikan Anugerah Usahawan Kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2023

(Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) melawat ke ruang pameran selepas Majlis Perasmian HKK 2023/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyampaikan dua anugerah usahawan kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2023 (HKK 2023) di Kompleks Kraf di sini hari ini.

Anugerah Usahawan Kraf Muda diberikan kepada Zulhelmy Hamdan dari Ezryhelmy Enterprise manakala penerima anugerah Usahawan Kraf 2023 ialah Muhamad Isa Saad dari KWM Craft.

Bersempena dengan HKK 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing itu, Dr Wan Azizah turut meluangkan masa hampir sejam melawat gerai pameran termasuk pempamer dari Sarawak, Pahang dan Terengganu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, HKK 2023 bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ yang berlangsung mulai 1 Mac hingga 13 Mac ini, menyasarkan nilai jualan RM16 juta dengan kehadiran 185,000 orang pengunjung.

 
(Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan Anugerah Usahawan Kraf Muda
kepada Zulhelmy Hamdan/BERNAMA)

Sementara itu, Tiong dalam ucapannya berkata HKK 2023 yang melibatkan penghasilan produk kraf pelbagai kaum bercirikan ‘kraf identiti Malaysia’ bertujuan memupuk kesedaran dan menambah pengetahuan masyarakat terhadap produk kraf keluaran tempatan. 

“Konsep ini selari dengan inti pati perpaduan kaum yang direncanakan menerusi konsep Malaysia MADANI oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibarhim),” katanya.

Beliau juga berkata, industri kraf terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19 apabila merekodkan peningkatan jualan produk kraf sebanyak 44.4 peratus tahun lepas berbanding pada 2021. 

Selain itu Tiong berkata kementeriannya sudah memulakan kempen dan sedang melipatgandakan usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2025 di dalam dan luar negara.- BERNAMA

Media Baharu