fb fb fb fb fb

Banjir: 180 pegawai, anggota APM dari sembilan negeri digerakkan ke Johor

(Armizan Mohd Ali)

BACHOK, 5 Mac- Seramai 180 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari sembilan negeri telah digerakkan ke Johor sejak bencana banjir itu berlaku bulan lepas.

Pegawai dan anggota negeri terlibat adalah Perak, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mereka telah ditempatkan untuk membantu operasi di tiga daerah iaitu Batu Pahat, Segamat dan Muar.

Enam unit lori, 12 pacuan empat roda, 14 bot dan satu set generator, selain keperluan 23 jaket keselamatan turut digerakkan ke lokasi terjejas.

Beliau juga memuji tindakan awal penduduk terjejas banjir untuk menyelamatkan diri dengan mengambil inisiatif sendiri berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa menunggu bantuan daripada pihak berkuasa tiba.

Angka mereka yang ditempatkan di PPS pada Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 mengalami peningkatan mendadak iaitu 183,454 orang setakat ini, berbanding 181,907 orang pada MTL sebelum ini.

Armizan ditemui media selepas Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-13 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok.

Pada majlis itu, seramai 902 Pegawai Kadet Sispa (PKS) daripada Kor Sispa Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam.

(Armizan Mohd Ali)

Media Baharu