LABUAN, 30 April - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan sedia menjalinkan kerjasama erat dengan DPMM di peringkat pusat bagi mencapai hala tuju dalam memperkembangkan aliran perniagaan dari peringkat domestik ke serantau, khususnya ekonomi di Labuan.
Yang Di-Pertua DPMM, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata DPMM Labuan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi di wilayah ini untuk membantu usahawan melayu.

"Sistem perdagangan tukar barang telah dikembalikan semula untuk kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan. Jadi ini merupakan satu isyarat baharu bahawa potensi ekonomi untuk Labuan sudah ada.
"InsyaAllah DPMM dengan kerjasama DPMM pusat kita akan pastikan ahli-ahli kita yang ada di Labuan tidak ketinggalan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa DPMM, di sini.
Tambah Suhaili, usahawan perlu melangkah ke hadapan dan menambah kemahiran agar dapat menjana peluang yang lebih luas seiring perubahan cabaran global perniagaan.