PUTRAJAYA, 24 Disember - Dos kelahiran vaksin Hepatitis B akan terus dikekalkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walaupun Advisory Committee on Immunisation Practices (ACIP) di Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menghentikan pelaksanaannya.
"Pemberian dos kelahiran vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran amat penting bagi mencegah penularan virus Hepatitis B daripada ibu kepada bayi. Jangkitan Hepatitis B pada peringkat awal kehidupan berisiko tinggi menyebabkan jangkitan kronik, yang seterusnya boleh membawa kepada sirosis hati dan kanser hati semasa dewasa," menurut kenyataan itu.
KKM turut memaklumkan, pelaksanaan dos kelahiran vaksin Hepatitis B di Malaysia terbukti berkesan sejak 1989 dalam mengurangkan kadar jangkitan Hepatitis B dalam kalangan kanak-kanak, serta menyumbang kepada perlindungan kesihatan jangka panjang rakyat.
Langkah itu juga selaras dengan komitmen global untuk mencapai sasaran eliminasi Hepatitis B sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
"Keputusan dasar imunisasi negara adalah berdasarkan bukti saintifik, data epidemiologi tempatan dan global, serta pandangan pakar. Sebarang perubahan kepada dasar ini hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti kukuh dan konsensus antarabangsa yang menyokongnya," menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, semua ibu bapa dan penjaga diingatkan agar memastikan bayi mereka menerima vaksin berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan, demi melindungi anak-anak daripada jangkitan yang boleh dicegah melalui vaksin.