KUALA LUMPUR, 24 Disember - Tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mendapati harga barangan keperluan asas kekal terkawal serta berpatutan, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna menjelang musim perayaan.
Tinjauan RTM yang dijalankan di sebuah pasar raya di Subang Jaya, Selangor mendapati kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan harga yang ditawarkan dan menyifatkan tiada kenaikan ketara sepanjang tempoh penguatkuasaan skim tersebut.
Menurut, pengguna, Parameswari, harga barangan keperluan ketika ini masih terkawal.
“Boleh lah, harga ada turun. Tak mahal,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Jane, berkata harga barangan masih konsisten seperti hari biasa dan tidak banyak berubah.
“Saya rasa okay. Saya biasa datang pasar raya, harga pun tak banyak perubahan, sama juga,” katanya.
Pengguna, Azman Ibrahim pula memaklumkan harga barangan kekal murah dan terkawal walaupun sempena sambutan Krismas.
“Setiap dua atau tiga minggu saya datang beli barang harian. Hari Krismas pun harga masih murah dan terkawal. Ini yang terbaik untuk pengguna, termasuk B40,” katanya.
Sementara itu, pengguna, Flora yang menyambut perayaan Krismas menyifatkan harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan sesuai bagi persiapan musim perayaan.
“Berpatutan untuk kita yang sambut perayaan. Memang biasa datang sini kalau ada perayaan,” katanya.
Tinjauan turut dijalankan di sebuah pasar raya di Puchong; memperlihatkan reaksi positif dalam kalangan pengguna terhadap harga dan kualiti barangan.
“Harga barang di sini bagus, tak mahal sangat. Kualiti barang pun baik. Ada juga harga yang turun,” kata pengguna, Kesavan yang merupakan pemilik sebuah restoran.
Pengguna lain, Shanti Shankar berkata terdapat perbezaan harga yang lebih murah berbanding hari biasa, khususnya bagi barangan keperluan harian.
“Hari ini memang murah berbanding hari biasa. Beras, bawang, sayur-sayuran semua murah,” katanya.
Pandangan sama dikongsi pengguna, Hafiz Rahim yang menyifatkan harga masih berada pada tahap standard tanpa kenaikan mendadak.
“Harga hari ini berpatutan dan tak ada kenaikan besar. Masih harga standard,” kata Hafiz.
Dalam pada itu, pengguna, Hairul Halim mengingatkan pengguna agar lebih peka dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan harga kepada pihak berkuasa.
“Kalau ada peniaga tak ikut peraturan atau tak pamer harga, kita kena laporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Sekarang telah mudah kerana terdapat aplikasi,” katanya.
Sebelum ini, KPDN mengumumkan penguatkuasaan SHMMP Krismas 2025 melibatkan 14 jenis barangan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.
Antara barangan terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah dari China, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah dan kuning besar, ubi kentang import, kepak ayam serta ayam tua hidup bagi Sarawak.
Penguatkuasaan skim tersebut dilaksanakan bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah sepanjang musim perayaan.