fb fb fb fb fb

Diplomasi dan kesederhanaan, hindari konflik

NEW DELHI, 17 Jun - Nasionalisme keterlaluan dan politik identiti menjejaskan kewujudan bersama secara aman dalam kalangan rakyat dan negara.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada persidangan di sini.

Berucap pada sesi menteri "Dialog Delhi", menteri itu berkata diplomasi dan kesederhanaan diperlukan untuk menghindari konflik.

"Dialog ini sangat bertepatan dalam suasana hari ini dan penting kerana kita sedang membincangkan untuk menjalin persahabatan ketika identiti dan politik nasionalistik mengancam untuk mengetepikan nilai kesederhanaan dan toleransi," kata Saifuddin.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan dalam ekstremisme agama dan nasionalisme keterlaluan, yang mengetepikan demokrasi dan merencatkan globalisasi.

Menurut Saifuddin, ia meningkatkan cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional seperti keganasan, penghijrahan paksa, dan pertikaian wilayah.

Bagi perkumpulan 10 anggota negara Asia Tenggara, ASEAN, antara cabarannya adalah konflik di Myanmar.

(Saifudin sertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM)/FOTO BERNAMA)

Menteri Luar Malaysia pada pagi Khamis menyertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM), yang menandakan ulang tahun ke-30 hubungan dialog antara kedua-dua pihak.

Saifuddin menyifatkan pertemuan itu sebagai "sangat berhasil", berkata ASEAN dan India sepakat untuk "mengukuhkan dan meluaskan perkongsian strategik kami".

Beliau berkata kedua-dua pihak boleh memanfaatkan dua kekuatan utama mereka – penduduk dan teknologi dalam mengembangkan hubungan mereka.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Saifuddin bersama Menteri Luar ASEAN yang lain turut akan menghadiri Dialog Delhi ke-12.

Bertemakan “Breaking Barriers, Building Bridges in Indo-Pacific”, Saifuddin akan berucap pada sesi Panel Menteri mengenai 30 Tahun Hubungan ASEAN-India di Dialog Delhi ke-12.

Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar mengalu-alukan kehadiran rakan sejawatannya di Asia Tenggara dan Setiausaha Agung ASEAN Dato Lim Jock Hoi ke mesyuarat itu.

"Ketika ketidaktentuan global yang sedang melanda, sambil menyemak semula perjalanan selama 30 tahun yang lalu dan merencanakan laluan untuk dekad akan datang, penting untuk mengenal pasti beberapa keutamaan baharu sambil memastikan dapat merealisasikan lebih awal inisiatif yang sedang dijalankan.

"Peranan ASEAN hari ini mungkin lebih penting berbanding sebelum ini memandangkan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan yang sedang dihadapi dunia," kata Jaishankar dalam ucapan pembukaannya.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Jaishankar dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan. - BERNAMA

Media Baharu