fb fb fb fb fb

Digitalisasi dalam sektor pembinaan akan terus rancak - Alexander

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 30 November- Digitalisasi sektor pembinaan akan terus dirancakkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi mempercepat penggunaan teknologi melalui Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang menjadi tonggak untuk mengadaptasi teknologi terkini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dasar tersebut menjadi rujukan bagi mempercepat adaptasi teknologi sektor pembinaan bertujuan untuk membantu Malaysia mencapai pertumbuhan yang mampan demi manfaat masyarakat.

Jelasnya, ia juga dapat membantu meningkatkan peluang tenaga kerja di negara ini serta mengurangkan kebergantungan kepada guna tenaga asing melalui pengukuhan kompetensi dan adaptasi teknologi.

"Kita tumpu juga kepada mengadaptasikan teknologi dan digital Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam industri pembinaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk peningkatan pekerja-pekerja kita agar menggunakan teknologi digital seperti 'Internet of Things' (IoT), kecerdasan buatan dan sebagainya.

"Sudah tentu kita akan mengurangkan objektif utama kita, mengurangkan kebergantungan industri pembinaan ini kepada buruh, lebih-lebih lagi buruh asing," katanya kepada pemberita dalam program rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.

Tambahnya, inisiatif berkenaan juga bakal mewujudkan peluang-peluang baharu dan nilai tambah dalam industri pembinaan serta komponen sistem binaan berindustri.

Jelasnya lagi, menjelang program Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Disember di Stadium Bukit Jalil nanti pelbagai program akan dilaksanakan di reruai KKR.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM