KUALA LUMPUR, 16 Disember-Pelaksanaan Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5) yang dirangka menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berjaya menarik pelaburan dengan nilai RM213.95 bilion.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata strategi berkenaan turut berjaya menarik 710 syarikat baharu untuk melabur di Malaysia serta mencipta 76,429 peluang pekerjaan baharu setakat suku ketiga 2024.
"Setakat ini kita telah pun melepasi sasaran. Ini menunjukkan bahawa program tersebut telah pun berjaya bukan setakat pekerjaan tapi juga daripada segi tarikan pelaburan sehingga suku ketiga bagi tahun 2024.
"Inisiatif ini telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM213.95 bilion dan menarik minat sebanyak 710 buah syarikat baru untuk melabur di Malaysia serta mencipta sebanyak 76,429 peluang pekerjaan baharu", katanya ketika menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol di Dewan Negara hari ini.
Tambah Gobind,pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi digital.