fb fb fb fb fb

PLKN 3.0 bukan sekadar latihan asas ketenteraan- Khaled Nordin

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Disember-Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak berorientasikan ketenteraan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, PLKN 3.0 bakal menggunakan pendekatan bersifat kebangsaan serta mengikut acuan budaya dan kerencaman masyarakat di negara ini.

Jelasnya, PLKN 3.0  tidak melibatkan kos yang besar berbanding PLKN 1.0  dan PLKN 2.0.

"PLKN 3.0 juga bukanlah satu program ketenteraan, bersifat kerahan yang mahu menyediakan pasukan tentera seperti di Korea Selatan, Singapura ataupun Taiwan.

"Sebaliknya ia satu intervensi yang bertujuan menyemai patriotisme, memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda, membina kepimpinan dan disiplin diri serta menanam pemahaman yang jelas terhadap isu nasional seperti kenegaraan, kerencaman kaum, pertahanan dan aspek-aspek kritikal lain dalam pembinaan sebuah negara bangsa", katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Roderick Wong Siew Lied hari ini.

Dalam pada itu, Khaled turut menjelaskan bahawa PLKN 3.0 dilaksana dengan penambahbaikan dan konsep baharu berasaskan kajian dan dapatan yang dijalankan pada tahun 2021 hingga 2023.

"Konsep yang baru ini direka bentuk secara lebih menyeluruh dan berkesinambungan dengan pendekatan bersepadu yang merangkumi beberapa fasa bermula dari pengenalan PLKN di sekolah, diteruskan dengan fasa latihan asas dan akhirnya digalakkan semua mereka yang telah melalui untuk menyertai Program Khidmat Negara.

"Sama ada mereka menyertai angkatan tetap, angkatan simpanan ataupun mereka mohon untuk menjadi sukarelawan di pelbagai kementerian yang ada di dalam negara kita", katanya.

Menurut Datuk Seri Khaled, kajian terakhir dilaksanakan sendiri oleh pihak Kementerian Pertahanan iaitu pada 2021-2022 disusuli kajian oleh Persatuan Pendidikan Diversiti pada tahun lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD