KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Generasi muda perlu didedahkan tentang kepentingan cukai terhadap pembangunan negara, kata Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPNWPKL) Mohamad Zain Mohamad Said.
Menurut beliau, ia sebagai satu usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Selain membentuk generasi muda celik tentang percukaian ia juga selari dengan AES iaitu Awareness, Education, Services (Kesedaran, Pendidikan, Perkhidmatan), katanya bercakap pada Program Hasil Your Tax Buddy (HYTB).
Taklimat percukaian itu disertai seramai 62 orang pelajar universiti tempatan pelbagai fakulti dari Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).
"Diharap objektif program ini tercapai dan berjaya melahirkan generasi muda celik tentang cukai, seterusnya meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
"Program seumpama ini juga untuk memupuk pematuhan cukai secara sukarela melalui taklimat Kenali LHDNM," katanya pada Program HYTB Peringkat Negeri Wilayah Kuala Lumpur di sini, pada Sabtu lalu.
(Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPNWPKL) Mohamad Zain Mohamad Said (tiga dari kiri)/FOTO LHDN KL)
Pada majlis itu juga para pelajar asnaf KPBKL turut menerima sumbangan wang tunai berjulah RM4, 000.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Jabatan Khidmat Korporat Hishamudin Mohamed dan Pengarah Cawangan Kuala Lumpur Bandar Bacho Abdul Karim.