fb fb fb fb fb

Didik amalan sifar plastik, UM anjur majlis Syawal tanpa barangan plastik

KUALA LUMPUR, 17 Mei –Bagi memastikan kelestarian alam sekitar seterusnya membudayakan amalan gaya hidup lestari, Universiti Malaya menganjurkan Majlis Raikan Syawal tanpa barangan plastik sekali guna.

Tetamu yang hadir digalakkan untuk membawa bekas makanan masing-masing, menyaksikan tiada sebarang penggunaan plastik digunakan sepanjang majlis berlangsung.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), Profesor Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad penganjuran program seumpama itu diharap menjadi model rujukan penganjuran majlis lebih lestari untuk program universiti lain, seperti minggu orientasi pelajar, juga majlis-majlis keraian rasmi di pelbagai peringkat dan jabatan.

“Apabila konsep lestari menjadi norma pada majlis keramaian, ia dapat membantu mengurangkan penggunaan plastik sekali guna sekaligus membantu menjadikan UM sebagai kampus lestari dan neutral karbon menjelang 2030. Ia juga selaras agenda global dalam menangani dan mengurangkan pencemaran plastik,” katanya.

Menjadi kebiasaan pada majlis sambutan rumah terbuka penggunaan pinggan, cawan, sudu dan garfu plastik sekali guna memudahkan pihak tetamu, tuan rumah dan penyedia makanan dalam aspek logistik dan kos penyediaan.

Namun menurut Profesor Madya Dr. Zeeda Fatimah berdasarkan laporan UN Environment Programme, sejak tahun 1950, kira-kira 9.2 bilion tan plastik telah dihasilkan, menghasilkan kira-kira 6.9 bilion tan sisa plastik primer.

Lebih tiga perempat daripada sisa plastik ini dibuang dan berakhir di tapak-tapak pelupusan sampah dan persekitaran semula jadi di seluruh dunia, termasuklah sungai dan lautan.

Ketika ini, dianggarkan lebih 20 juta tan sisa plastik dilepaskan ke dalam ekosistem akuatik setiap tahun – dari tasik ke sungai hinggalah ke laut – dari ke semua sumber aktiviti manusia di daratan.

Atas kesedaran itu, UM mengambil inisiatif menyedarkan masyarakat akan risiko penggunaan plastik secara berlebihan dan menjadikan ia sebagai norma baharu.

Justeru, sepanjang majlis berlangsung, semua petugas dan tetamu tidak menggunakan peralatan plastik sekali guna. Cawan dan pinggan daripada kertas menjadi alternatif lestari kepada tetamu yang hadir tanpa membawa bekas makanan sendiri, manakala sudu dan garfu daripada kayu turut digunakan.

Pada majlis tersebut lebih 6,000 orang tetamu hadir. Selain juadah hari raya seperti lemang, ketupat, dan rendang, tetamu turut disajikan dengan sate, kambing bakar, dan kuih-muih tradisional Melayu.

Menariknya, botol-botol air mineral yang biasanya dihidangkan di majlis sebegini juga tidak disediakan.

Menurut Pegawai Penyelidik UMSDC, Affan Nasaruddin tetamu digalakkan membawa bekas dan peralatan makanan sendiri semasa majlis. Malah, panduan kelestarian juga dihebahkan awal kepada tetamu seumpama galakan berkongsi kenderaan dan amalan mengelakkan pembaziran makanan.

“Keunikan pelestarian majlis ini juga dipaparkan melalui pendekatan elemen pendidikan dan kesedaran kepada tetamu oleh kumpulan Sukarelawan Lestari Universiti Malaya. Tetamu diajar untuk melakukan pengasingan sisa mengikut kategori. Lebih 200 kilogram sisa makanan berjaya dikumpulkan di majlis ini.

“Sisa makanan ini bakal dijadikan kompos di tapak Zero Waste Campaign UM. Ini juga merupakan salah satu inisiatif ekonomi kitaran yang telah sekian lama diamalkan di UM” katanya.

“Saya kagum dan bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh warga kampus dalam menjayakan program ini secara lestari sepenuhnya. Aspirasi neutral karbon yang menjadi halatuju UM dan negara pastinya tercapai dengan pemahaman dan motivasi dalaman yang ada di dalam diri setiap individu.

Hanya pengamalan berterusan dan konsisten, seperti di dalam majlis keramaian seperti ini, yang akan memastikan kita mencapai objektif tersebut menjelang 2030,” kata Professor Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor UM ketika ditemui di penghujung majlis.

Mengulas lanjut, Prof. Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad menyatakan bahawa ini merupakan satu proses pendidikan dan pembudayaan lestari yang perlu diterapkan serta diamalkan oleh komuniti kampus dengan pendekatan yang lebih mesra komuniti untuk bersama-sama menyokong aspirasi kelestarian institusi pendidikan tinggi.

“Mana-mana inisiatif, walaupun sepositif mana pun, tidak mungkin akan berjaya tanpa sokongan akar umbi sebegini. Saya yakin dengan menunjukkan contoh yang mudah namun berterusan, gaya hidup lestari ini dapat dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan kita kelak,” katanya mengakhiri temu bual.

MAT YUNUS BIN SABRI