fb fb fb fb fb

Malaysia sokong usaha ketiga Afrika Selatan di ICJ

Usaha kali ketiga Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam sesi pendengaran awam yang sedang berlangsung di Peace Palace, The Hague sejak semalam dan hari ini/Foto AFP

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara (provisional measures) tambahan ke atas Israel.

Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini berkata, Malaysia menyokong sepenuhnya usaha Afrika Selatan kali ketiga itu untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza.

"Langkah-langkah sementara tambahan tersebut menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera dalam sesi pendengaran awam yang sedang berlangsung di Peace Palace, The Hague sejak semalam dan hari ini.

"Ini termasuk melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan supaya Israel melaporkan tindakan yang telah diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa," katanya.

Menurut kenyataat itu lagi, ini merupakan permohonan Afrika Selatan yang ketiga sejak ICJ menetapkan langkah-langkah sementara pada 26 Januari lalu.

Pada 22 Februari lalu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam berhubung permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ di Peace Palace, The Hague.

"Ia adalah mengenai kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur," ujarnya.

Serangan besar-besaran negara haram Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi, akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar.

"Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya," tambah kenyataan itu.

Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

GRACE AISYAH KEDAYAN