fb fb fb fb fb

Diberhentikan kerja 24 jam, ejen pemasaran bangkit bantu lebih ramai pihak



SHAH ALAM, 12 Februari - Menerima notis berhenti kerja 24 jam, tidak mudah bagi sesiapa sahaja.

Namun bagi Ketua Pegawai Eksekutif Newsfeed Media, Norzira Syarini Mohammed Pauzi, beliau menggunakan cabaran getir itu sebagai peluang bagi membantu lebih ramai pihak.

Bermula secara kecil-kecilan di rumah dengan hanya sebuah komputer selama 7 bulan, Norzira kini menarik nafas lega setelah perniagaannya sebagai ejen pemasaran telah membantu lebih 400 buah syarikat.

Malah apa yang lebih membanggakan bekas penerbit ini, pelanggannya mampu bangkit semula setelah mengalami kerugian dalam perniagaan ketika berdepan pandemik COVID-19.

Menurut Norzira, beliau mahu memberi inspirasi kepada pengusaha secara umumnya, tanpa mengira saiz perniagaan, dengan memberi galakkan dan meningkatkan potensi peniaga menerusi sikap positif dan tidak berputus asa.

"Kalau dilihat dalam keadaan pandemik, dalam keadaan krisis, ramai sangat usahawan yang seolah-olah macam sedih dan tidak tahu hala tuju, saya terdetik untuk bangkitkan semula semangat dengan membangunkan perniagaan masing-masing dengan cara kita.

"Kepada usahawan-usahawan di luar sana yang melalui saat getir, kita dah banyak sangat menghadapi cabaran, saya sarankan supaya teruskan berusaha, jangan putus asa, sebab ada banyak jalan atau pintu rezeki yang masih terbuka untuk anda," katanya ketika ditemubual Berita RTM, di sini.

Bakal memiliki Bangunan Wisma sendiri tidak lama lagi, Norzira meletakkan sasaran tahun 2022 bagi membantu lebih ramai usahawan dalam usaha mengembangkan perniagaan.

 

Media Baharu