fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat luluskan usul SOSMA, dilanjutkan kuat kuasa lima tahun lagi

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Usul pelanjutan tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta SOSMA 5 tahun lagi yang telah ditolak Dewan Rakyat pada 23 Mac lepas, berjaya diluluskan menerusi undi belah bahagi.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, 105 undi bersetuju manakala 83 undi menolak.

"Saya ingin mengumumkan keputusan undi belah bahagian adalah seperti berikut, setuju 105 undi, tidak setuju 83 undi dan tidak hadir 32. Maka, dengan ini usul disetujukan," kata Speaker mengumumkan keputusan undi belah bahagi berkenaan hari ini.

Pembentangan dilakukan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengakui penolakan usul pada 23 Mac lalu telah mengecewakan kementerian dan PDRM dalam usaha menjaga ketenteraman awam.

Antara yang diperuntukkan dalam akta berkenaan adalah tempoh tahanan 28 hari yang perlu disemak 5 tahun sekali oleh Parlimen.

"Sekiranya tempoh 28 hari tidak dilanjutkan kementerian bimbang usaha tangani jenayah terancang akan terjejas terutama kes-kes yang disiasat pada Julai ini. Saya percaya jika suspek dilepaskan, suspek ini boleh mengganggu rantaian bukti dan kesannya, jenayah keselamatan ini akan semakin berleluasa," kata Hamzah menjelaskan perkara tersebut di Dewan Rakyat.


(Foto Fail)

Dalam perkembangan lain, tujuh Rang Undang-undang (pindaan) untuk bacaan kali pertama dibentang Kementerian Kewangan.

Ia adalah Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Kastam 1967, Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2022 untuk meminda Akta Eksais 1976 dan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Zon Bebas 1990.

Turut dibentangkan ialah Rang Undang-undang Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Cukai Pelancongan 2017, Rang Undang-undang Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 untuk meminda Akta Levi Pelepasan 2019 serta Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998.

Selain itu, Rang Undang-undang Levi Kenderaan Barang-Barang (Pindaan) 2022 juga dibentangkan bagi meminda Akta Levi Kenderaan Barang-barang 1983.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika membentangkan Rang Undang-undang itu memaklumkan bacaan kali kedua bagi kesemua Rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan yang sama.

Media Baharu