fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus RUU Perikanan (Pindaan) 2025

Datuk Seri Arthur Joseph Kurup/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 bertujuan memperkukuh tindakan terhadap perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Malaysia mengalami kerugian sekitar RM823 juta dalam tempoh lima tahun akibat pencerobohan nelayan asing ke perairan negara.

Jelas beliau, jumlah kerugian itu direkodkan bagi tempoh 2020 hingga 2024, melibatkan kehilangan hasil tangkapan ikan komersial, kemusnahan habitat marin serta tekanan terhadap sumber perikanan tempatan.

RUU itu juga bukan sekadar pindaan perundangan, tetapi reformasi bagi memperkukuh tadbir urus sektor perikanan nasional, menjamin kelestarian sumber dan melindungi hak nelayan, termasuk komuniti kecil di kawasan luar bandar serta kepulauan.

"RUU ini bukan hanya mengambil kira kehendak domestik tetapi juga menyelaraskan negara kita dengan amalan antarabangsa dan saranan Suruhanjaya Eropah dan meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas dalam menangani perikanan IUU,” katanya, ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini.

Menurut Datuk Seri Arthur, antara pindaan utama RUU tersebut melibatkan aspek kawal selia, pemindahan kapal, pendaratan dan penyelenggaraan vesel serta peluasan takrif kesalahan terhadap kaedah penangkapan ikan yang merosakkan habitat laut.

Pindaan terhadap Seksyen 26 juga merupakan langkah penting untuk menangani kegiatan IUU yang mana memperuntukkan hukuman terhadap mereka yang menggunakan bahan letupan, racun, pencemar, peralatan berasaskan arus elektrik dan alat penangkapan ikan yang dilarang.

RUU tersebut turut memperkenalkan subseksyen baharu, 13(3A) yang menetapkan larangan permohonan semula lesen bagi mana-mana lesen yang dibatalkan, untuk tempoh tidak melebihi lima tahun dari tarikh pembatalan.

Langkah itu bersifat pencegahan, bertujuan melindungi stok sumber perikanan negara dan pada masa sama menjadi hukuman berat bagi memastikan pesalah mengulangi kesalahan yang sama.##

ASHRIQ FAHMY AHMAD