KUALA LUMPUR, 29 Julai - Penggubalan konsep produk asas Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) disasarkan untuk disiapkan sepenuhnya menjelang Disember 2025, dengan pelaksanaan dirancang pada akhir 2026.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), struktur dan reka bentuk produk ini masih belum dimuktamadkan.
“Buat masa ini, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan utama sedang giat dijalankan bagi memastikan semua pandangan berkenaan ciri-ciri reka bentuk produk MHIT diambil kira dan sejajar dengan prinsip kemampuan serta kemampanan jangka panjang produk asas MHIT,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia menjawab soalan Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) (PN-Lumut) yang ingin tahu mengenai justifikasi rasional berhubung pertimbangan kerajaan untuk membenarkan rakyat menggunakan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai insurans kesihatan.
Ini termasuk sejauh mana cadangan tersebut akan membantu meringankan beban kos perubatan dan garis masa pelaksanaannya.
Katanya, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan dan MOF telah memperkenalkan strategi RESET sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.
Antara teras RESET ialah membuat penambahbaikan kepada MHIT melalui pembangunan produk asas insurans dan takaful yang menawarkan kadar premium lebih mampan dan stabil dalam jangka masa panjang.
MOF menekankan bahawa keputusan untuk membeli produk asas ini adalah secara sukarela dan berdasarkan pilihan individu.
Katanya, penggunaan dana daripada Akaun 2 di bawah Skim KWSP hanyalah antara cadangan sumber kewangan yang telah tersedia kepada pengguna pada masa ini untuk membeli perlindungan insurans dan takaful.
“Sekiranya polisi produk asas MHIT telah dimuktamadkan, KWSP bersedia untuk mempertimbangkan penambahbaikan ke atas fasiliti i-Lindung yang membenarkan penggunaan Akaun 2 untuk pembelian produk asas MHIT kelak,” katanya.-BERNAMA