fb fb fb fb fb

NextGen AiREd Fest: Pemangkin inovasi dan literasi digital generasi muda

Foto RTM

KANGAR, 29 Julai -NextGen AiREd Fest bukan sekadar medan pertandingan dan pertunjukan bakat, bahkan medan pengukuhan literasi digital, pemikiran kritis dan daya inovasi generasi muda.

Program itu jelas membuktikan bahawa transformasi pendidikan tidak lagi bersifat teoretikal semata-mata, malah telah diterjemahkan dalam bentuk praktikal, kreatif dan futuristik.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha membudayakan AI dan robotik di peringkat akar umbi adalah pelaburan strategik jangka panjang dan yakin Perlis mampu melahirkan bakat bertaraf dunia sekiranya usaha seperti itu diteruskan dan diperluas ke peringkat lebih tinggi dengan sokongan pelbagai pihak.

"Semua pihak termasuk sektor pendidikan, industri dan komuniti supaya terus berganding bahu dalam menyemai minat, menyediakan peluang dan membuka jalan kepada anak-anak negeri ini untuk meneroka bidang masa hadapan.

"Dalam mengejar kemajuan teknologi, janganlah kita lupa bahawa ia mesti bergerak seiring dengan pembinaan jati diri, nilai moral, dan etika digital dimana anak-anak yang celik AI, mestilah juga anak-anak yang berakhlak dan bertanggungjawab," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah ketika menyempurnakan Majlis Penutupan NextGen AiRED Fest 2025 di Dewan Warisan, Kangar, diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seramai 350 pelajar mewakili 26 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Perlis serta dua buah sekolah dari Thailand menyertai NextGen AiRED Fest 2025 yang berlangsung selama dua hari.

NextGen AiRED Fest 2025 merupakan inisiatif strategik anjuran Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dengan penglibatan rakan strategik antarabangsa iaitu iMAKE Innovation Thailand Co. Limited serta rakan strategik tempatan seperti Galaxy Group of Companies, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

TETITIA YUSOFF