KUALA LUMPUR, 29 Julai -Lebih dua juta pengunjung disasarkan hadir ke Program Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, karnival kali ini merupakan antara yang terbesar pernah dianjurkan oleh Kementerian Desa dan Wilayah (KDDW), dengan penyertaan lebih 1,000 usahawan daripada pelbagai sektor yang menawarkan produk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, Karnival Usahawan Desa menjadi platform utama bagi mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih luas. Ia juga membantu menambah pendapatan usahawan desa dan membuka peluang perniagaan merentasi pelbagai sektor ekonomi.
"Seramai 1,000 usahawan telah dikategorikan dalam pelbagai sektor dimana kita bukan hanya melibatkan soal pameran produk-produk, bukan hanya makanan dan minuman tetapi semua produk yang dikeluarkan oleh sektor mikro kecil dan sederhana. Kita jangkakan lebih dua juta pengunjung memeriahkan karnival ini.
"Kita menyasarkan nilai transaksi jualan hingga RM209 juta merangkumi jualan tunai, pembiayaan usahawan serta potensi padanan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir karnival itu, di ibu negara.
Menurut beliau, majlis peluncuran MK3D 2025 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sabtu ini.
Bertemakan "Desaku Mendunia" MK3D 2025 menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh KKDW, Hari Peneroka FELDA oleh FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).