fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus dua RUU berkaitan perlindungan pekerja

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, yang antara lain memperkenalkan Skim Lindung 24/7, iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, pelaksanaan skim itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

Menurut beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempunyai keupayaan mencukupi untuk memastikan kelancaran pelaksanaan skim tersebut.

"Purata tempoh pemprosesan tuntutan PERKESO tahun lalu adalah sekitar 24 jam dengan keseluruhan purata 1.29 hari setiap kes. Ini membuktikan kecekapan PERKESO dalam memastikan tuntutan diproses segera," katanya.

Sim turut memaklumkan kajian sedang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi mempertimbangkan pemberian insentif kepada pencarum yang tidak membuat tuntutan dalam tempoh tertentu.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, beliau memaklumkan sebanyak 12,306 kes tuntutan telah ditolak PERKESO sejak 2023 hingga Oktober lalu kerana ditakrifkan sebagai bukan bencana kerja.

Situasi itu menunjukkan keperluan pelaksanaan Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang terkandung dalam pindaan RUU berkenaan, bagi mengelakkan keluarga mangsa menanggung sendiri kos rawatan dan pemulihan sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu kerja.

RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 diluluskan selepas dibahaskan 10 Ahli Parlimen.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum PERKESO yang kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, sehingga 30 November lalu, sebanyak 57,094 atau 85.3 peratus pekerja telah menerima manfaat bawah SIP, daripada 69,923 kes kehilangan pekerjaan yang direkodkan dalam tempoh lima tahun.

"Jumlah keseluruhan bayaran faedah SIP yang diluluskan mencecah RM437.19 juta, selaras komitmen kerajaan memastikan bantuan itu disalurkan dengan cepat, telus dan berkesan agar pekerja terkesan dapat meneruskan kehidupan sebelum kembali memasuki pasaran pekerjaan," katanya.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen.

MASNIZA AWANG KECHIK