fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus dua Rang Undang-Undang berkaitan pertanian, tentera

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 diluluskan Dewan Rakyat, selepas 16 Ahli Dewan berbahas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah dalam ucapan penggulungan berkata FAMA bersedia memperluas fungsi sebagai pengimport bekalan daging lembu dan ayam pada bila-bila masa diperlukan.

Jelas beliau, FAMA sebagai agensi kerajaan yang melaksanakan fungsi pemasaran hasil pertanian yang dibenarkan oleh akta sedia ada.

"Peruntukan yang diperolehi digunakan untuk menjalankan perlbagai jenis perkhidmatan pemasaran meliputi pertamanya pembangunan pasaran; keduanya pembangunan infrastruktur, pemasaran dan kemudahan pemasaran; ketiganya pembangunan usahawan; keempat penyediaan produk ke pasaran dan kelima pembangunan regulasi pasaran.

"Fungsi dan had kuasa FAMA di bawah akta 141, FAMA telah diperbadankan pada tahun 1965 sebagai sebuah agensi kerajaan bagi menyelia, menyelaras, mengawal dan mempertingkatkan pemasaran pengeluaran pertanian di Malaysia termasuk mengimport dan mengeksport keluaran pertanian, memberikan kemudahan kredit untuk pemasaran serta melaksanakan apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan pemasaran.

"Oleh yang demikian, fungsi FAMA tidak meliputi pengeluaran ataupun import bahan makanan, dan kawalan input tetapi kalau ada keperluan satu masa nanti, kalau FAMA diberi tanggungjawab untuk import ternakan ataupun karkas seperti ayam dan daging, kita akan fikir ke arah tersebut," katanya.

(Datuk Seri Ahmad Hamzah)

Pada ketika ini, FAMA menggunakan sebahagian peruntukan sedia ada sebagai modal pusingan bagi memenuhi keperluan negara antaranya dalam membekalkan daging lembu dan ayam.

Turut diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat adalah RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022.

Dalam hujah penggulungan, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, LTAT dibuat berdasarkan proses penilaian keputusan jawatankuasa berperingkat yang turut melibatkan pelbagai pihak termasuk panel bebas.

(Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz)

Semua anggota panel dipilih melalui pemilihan individu berkepakaran selain berintegriti dan telus.

"Jumlah aset yang diurus LTAT tidaklah besar, hanya sebanyak RM9.89 bilion, maknanya tidak sampai RM10 bilion jika dibandingkan dengan aset yang dikendalikan oleh KWSP iaitu hampir RM1 trilion, Lembaga Tabung Haji menguruskan hampir RM80 bilion, PNB RM350 bilion.

"Sebarang cadangan pelaburan dilakukan oleh LTAT akan melalui beberapa proses penilaian dan keputusan, tidak ada campur tangan dari segi politik.

"Pihak LTAT telah merancang untuk melebarkan pelaburan di luar negara, terutamanya dalam pasaran awam atas keperluan dan tuntutan LTAT untuk mempelbagaikan aset pelaburan. Kepelbagaian ini perlu sebagai strategi mengurus risiko dan memastikan pendapatan dari pelaburan terus mampan.

"Melalui pindaan ini, penambahan anggota bebas panel pelaburan daripada dua kepada empat anggota akan mempelbagai komposisi panel pelaburan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman seperti perniagaan, pelaburan, pengurusan risiko, perbankan, undang-undang atau kewangan.

"Pindaan ini juga telah memperuntukkan ujian kesesuaian dan kelayakan untuk memastikan anggota bebas panel pelaburan adalah berintegriti dan telus. LTAT mempunyai jabatan audit dalaman, di mana laporan dilaporkan terus oleh jawatankuasa audit di peringkat Lembaga Pengarah LTAT," katanya.

Media Baharu