fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat 19 Disember pilih Yang Dipertua, usul undi percaya kepimpinan PM

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara dua agenda utama Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke-15 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

Ketika ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

(Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana
Menteri ke-10 pada 24 November di Istana Negara / FOTO FAIL)

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 19 Disember bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.

Sidang Parlimen itu menjadi sidang Dewan Rakyat pertama di bawah kepimpinan Anwar.

Urusan mesyuarat sidang itu turut memasukkan sesi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Media Baharu