fb fb fb fb fb

Dewan Negara lulus empat RUU

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Dewan Negara meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kastam, eksais, zon bebas dan cukai pelancongan.

RUU tersebut adalah RUU Kastam (Pindaan) 2022; RUU Eksais (Pindaan) 2022; RUU Zon Bebas (Pindaan) 2022 dan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022.

Ketika menggulung usul perbahasan RUU Kastam (Pindaan) 2022, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata pindaan tersebut bagi menambah baik perundangan percukaian negara selari dengan perubahan semasa perniagaan.

Mengenai RUU Eksais (Pindaan) 2022, beliau menjelaskan ia dilaksanakan bagi memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai.

Ini ketika berlakunya kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

Selain itu, Yamani memaklumkan bagi mengelakkan kemudahan bebas cukai disalahgunakan, Kementerian Kewangan sentiasa meminta Jabatan Kastam mempergiat kawalan dan pemantauan zon bebas cukai.

Pertimbangan menjadikan satu-satu kawasan itu sebagai zon perdagangan bebas bergantung kepada kajian pembangunan ekonomi oleh kerajaan negeri.

"Oleh itu kerajaan negeri yang memohon untuk mewartakan sesuatu kawasan sebagai satu zon bebas, mereka hendaklah memastikan bahawa aspek-aspek sumbangan kepada ekonomi dan sebagainya telah diambil kira.

"Bukit Kayu Hitam sebenarnya telah diwartakan sebagai zon bebas pada tahun 1996 lagi, manakala Padang Besar bukannya kawasan zon bebas tetapi terdapat kedai bebas cukai yang telah dilesenkan dibawah Akta Kastam 1997 bagi membekalkan barangan bebas cukai," katanya.

(Yamani Hafez Musa)

Berhubung RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022, ia dilakukan bagi memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

Yamani berkata, disebabkan krisis kesihatan awam yang berlaku seperti pandemik COVID-19, ramai pemain industri tidak dapat membuat bayaran cukai dalam tempoh yang ditetapkan.

"Dan kesannya menyebabkan cukai yang dibayar selepas tamat tempoh tertakluk kepada penalti lewat bayar.

"Jadi dengan adanya peruntukan baharu ini, sekiranya berlaku apa-apa kecemasan awam atau krisis kesihatan awam di masa akan datang Menteri boleh melanjutkan tempoh tersebut melalui pengumuman rasmi atau arahan kepada Ketua Pengarah sekali gus memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat semakan semula atau membuat bayaran tanpa dikenakan penalti lewat bayar, walaupun dalam peruntukan semasa atau tempoh tersebut telahpun berakhir," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, tunggakkan cukai pelancongan yang belum dibayar sehingga Jun 2022, adalah sebanyak RM2.9 juta dan sasaran kutipan cukai pelancongan, kerajaan menganggarkan kutipan cukai pelancongan sebanyak RM200 juta

Namun angka itu, tidak dapat dicapai dalam tempoh dua tahun lepas, memandangkan kerajaan telah memberi pengecualian cukai pelancongan.

Media Baharu