fb fb fb fb fb

Harga siling baharu ayam, telur diputus setelah laporan terperinci diterima - Annuar

(Annuar Musa)

PUTRAJAYA, 15 Ogos- Keputusan membenarkan semula pengeksportan ayam serta penetapan harga siling baharu ayam dan telur akan diputuskan setelah meneliti laporan terperinci berhubung kedudukan bekalan dan permintaan barangan kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata kementerian serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perangkaan (DOSM), masing-masing diberi masa seminggu untuk mengemukan dapatan mereka.

"Jadi sama ada eksport dibuka atau tidak dan sama ada mekanisme subsidi yang sedang dilaksana sekarang diteruskan atau tidak, hanya akan diputuskan setelah kementerian dan agensi berkaitan mengemukakan laporan terperinci kedudukan bekalan dan juga permintaan bagi barangan yang dimaksudkan," katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini hari ini.

Setelah dibentangkan, jawatankuasa akan mengkaji semula dasar tidak dibenarkan mengeksport ayam pada masa ini serta dasar membenarkan ayam boleh dimport tanpa AP yang diumum sebelum ini.

(Semua pihak diminta bersabar sementara jawatankuasa meneliti data
yang ada bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal)

Penetapan harga ayam dan telur dalam pasaran berdasarkan pewartaan sekarang ialah sehingga 31 Ogos manakala penilaian mengenai langkah seterusnya pasca 31 Ogos akan mengambil kira input termasuk daripada JPV dan DOSM.

Beliau berkata, DOSM juga diminta membuat pengiraan berasaskan kajian di lapangan kos sebenar pengeluaran bagi setiap ekor ayam dalam negara.

Pada masa sama, keberadaan bekalan ayam dalam negara yang dibawa masuk melalui kebenaran import, ayam yang dikeluarkan secara tempatan dan kuantum yang dijangka boleh dieksport semula turut dinilai.

Dalam pada itu, Annuar meminta semua pihak bersabar sementara jawatankuasa meneliti data yang ada bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal.

Ia susulan terdapat banyak permintaan daripada penternak untuk mengeksport ayam berikutan permintaan tinggi dari Singapura.

Media Baharu