
DUNGUN, 12 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, anggota polis yang maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort, Sabah, 6 Ogos lalu.
- Serahkan pampasan Skim Takaful Berkelompok PDRM RM72,500, RM1,200 Tabung Kebajikan dan sumbangan peribadi kepada keluarga.
- Hadir sama beberapa pegawai kanan termasuk Ketua Polis Terengganu dan Pengarah Felda Wilayah Terengganu.
- Tiga anggota polis maut akibat renjatan elektrik, termasuk Koperal Chiu Teck Siong dan Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim.
Datuk Seri Saifuddin tiba di kediaman keluarga Allahyarham di Felda Kerteh 2, dekat sini, kira-kira 2.50 petang dan meluangkan masa sekitar 30 minit menyantuni bapa mangsa, Ismarubee Ismail, 51, serta ibunya, Nor Azila Zakaria, 46.
Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan pampasan kematian Skim Takaful Berkelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad berjumlah RM72,500, selain RM1,200 daripada Tabung Kebajikan PDRM serta sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham.
Hadir sama ialah Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hanim, Ketua Cawangan Khas, ACP Mohd Ashraf Ali Kutty, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Nik Ab Halim Nik Mat serta Pengarah Felda Wilayah Terengganu, Shahruddin Ab Rahman.
Allahyarham Muhammad Raimi, anak kedua daripada tiga beradik dan masih bujang, mula berkhidmat di Balai Polis Weston pada 2024.
Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang 6 Ogos lalu, Allahyarham bersama dua lagi anggota polis maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort.
Dua anggota lain yang terkorban ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29.