fb fb fb fb fb

Datuk Seri Mohd Sharkar dilantik Speaker DUN Pahang

KUANTAN, 29 Disember- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkuat kuasa hari ini.

Beliau dilantik pada Persidangan Penggal Pertama DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini. 

Usul melantik Datuk Seri Mohd Sharkar dikemukakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.

"Antara ahli-ahli yang berhormat pernah menjadi pembangkang dan pernah juga menjadi kerajaan.

Ahli yang berhormat yang menjadi kerajaan, jalankan tugas dengan baik kepada rakyat manakala pembangkang, jadilah pembangkang yang baik dan berhemah supaya semak dan imbang boleh diterjemah dalam dewan yang mulia ini," katanya.

Beliau berucap demikian selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri pada Persidangan Penggal Pertama DUN Pahang ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, di sini.

(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy menyarungkan jubah kepada Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
yang dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Pahang yang baharu / Foto BERNAMA)

Sementara itu, Lee Chin Chen yang merupakan ADUN Bilut menggantikan bekas ADUN Jenderak, Datuk Seri Muhamed Jaafar yang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Negeri bagi penggal ke-15.

Pada persidangan sama, seramai 42 ADUN mengangkat sumpah jawatan yang didahului Datuk Seri Wan Rosdy disusuli 10 Exco dan ADUN lain termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan ADUN Cheka.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 17 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi.

Media Baharu