fb fb fb fb fb

Dasar Industri Pertahanan Negara dibentang Ogos ini

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) kini berada di peringkat akhir penyediaan dan dijadualkan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu bakal meletakkan Malaysia pada landasan yang lebih kukuh dalam memperkasa industri pertahanan tempatan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar.

"Kementerian Pertahanan sedang memuktamadkan Dasar Industri Pertahanan Negara sebagai kerangka strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi dalam industri pertahanan Malaysia," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, DIPN akan menjadi platform dasar utama dalam menyelaras strategi pembangunan industri pertahanan negara secara lebih menyeluruh dan mampan.

Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan turut giat melaksanakan usaha memperkukuh keupayaan pertahanan kendiri negara, termasuk melalui pemerkasaan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai pusat kecemerlangan serantau.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI