fb fb fb fb fb

Dasar anti-Ali Baba bakal diperkenal, NETR dipercepat

(Mesyuarat MTEN pada 10 Julai 2023/Foto FB Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 11 Julai -Kerajaan dalam tindakan merangka dasar dan strategi perundangan bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking atau berhubung budaya Ali Baba sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara prinsip budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti tersebut.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada KDNK dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran,” kata Anwar menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, pihak Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan, akan mengkaji dan merangka dasar serta strategi perundangan tersebut.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam (10 Julai 2023) telah membincangkan perkara itu dan secara prinsip bersetuju dengan perkara itu, termasuk keputusan berkaitan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Inisiatif NETR itu akan dipercepatkan sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

“Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, sekaligus mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).

Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai 2023; disusuli peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos 2023.

“Melangkah ke hadapan, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara,” kata kenyataan itu.

Anwar berkata pentadbirannya akan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya.


(Mesyuarat MTEN pada 10 Julai 2023/Foto FB Anwar Ibrahim)

Media Baharu