fb fb fb fb fb

Program Outreach Sulh, beri pendedahan kepada masyarakat tentang kaedah sulh

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program bagi memperkenalkan kaedah Sulh kepada masyarakat seperti Outreach Sulh, Program Komuniti Sulh serta Muhakat Sulh.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sulh yang dilaksanakan sejak 2002 terbukti efektif dan menjadi salah satu alternatif penyelesaian kes syarie tanpa melalui prosiding perbicaraan.
 
Menurut statistik JKSM, sebanyak 84 peratus atau kira-kira 43,000 daripada 51,000 kes sulh telah berjaya diselesaikan dalam tempoh lima tahun sejak 2018.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

"Kita harapkan dengan kerjasama JKSM dan pasukan Datuk Dr Hamid Sultan ini kita dapat teruskan kerjasama ini dengan semua universiti. Maknanya nanti kita hendak pastikan mediasi itu bukan sahaja difahami di peringkat warga kerja JKSM dan mahkamah-mahkamah syariah negeri, tetapi juga di luar.

"Kalau kita tengok maknanya di universiti-universiti ini ramai pakar, di USIM contohnya yang banyak kerjasama dengan JKSM, kita ada universiti lain juga, kenapa tidak kita panjangkan kebaikan ini kepada universiti-universiti yang lain", katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program sinergi OutReach Sulh kali ke-4 antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di ibu negara.
 
Program yang bertemakan “Kemuliaan Syariah Membina Keluarga Madani” ini bermatlamat untuk memberi pendedahan dan penerangan kepada masyarakat berhubung pelaksanaan Sulh yang ditawarkan di Mahkamah Syariah seluruh negara.
 
Selain Sulh, pelaksanaan majlis tahkim dan rundingcara Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) juga merupakan antara kaedah penyelesaian alternatif yang diperkenalkan di kesemua mahkamah syariah.

Media Baharu