(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Salahuddin Ayub
ketika membuat tinjauan di sebuah pasar raya besar di Setapak, KL)
KUALA LUMPUR, 11 Julai- Kerajaan menegaskan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan asas bersubsidi, sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.
Ia sekali gus menafikan jangkaan berlakunya kenaikan harga secara mendadak bagi barangan berkenaan Ogos ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mendapati harga kesemua barangan keperluan asas bersubsidi adalah terkawal dan kekal pada harga yang telah ditetapkan.
"Memang menjadi tanggungjwab KPDN, setiap hari kita memantau dan mengawal harga-harga barangan asas rakyat.
"Sekali lagi saya menyatakan tinjauan KPDN mendapati, pertama sekali barangan bersubsidi tidak pernah naik dan tidak mungkin naik,"katanya.
Beliau ditemui pada sidang media di Econsave Setapak Central di ibu negara.
Jelasnya, setakat ini harga barangan asas bersubsidi seperti ayam, telur atau minyak RON 95 serta diesel masih lagi terkawal.
Berdasarkan sesi libat urus kementerian bersama 30 industri sebelum ini turut memberi jaminan tidak mungkin berlaku kenaikan harga yang melampau sehingga hujung tahun ini.
Beliau meminta agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan propaganda bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Pemantauan akan terus dibuat bagi memastikan pematuhan harga dikuatkuasakan secara berkesan sekali gus mengekang berlakunya ketirisan.
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Salahuddin Ayub)