(Bayi perempuan yang ditinggalkan selepas dilahirkan di Kampung Geting, Kelantan)
TUMPAT, 23 Jun- Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Geting, di sini, pagi tadi.
Seorang remaja, 18, dipercayai telah melahirkan bayi tersebut secara bersendirian tanpa pengetahuan keluarga.
Ibu remaja terbabit yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian dia keluar berniaga sebelum dihubungi anak perempuannya yang memaklumkan terdengar jeritan bayi dari belakang rumah.
Anaknya itu mendakwa ada individu membuang bayi, sebelum dia meminta ahli keluarganya yang lain ke lokasi kejadian, kira-kira pukul 9.30 pagi.
Sebaik tiba di lokasi, jiran memberitahu bayi perempuan tersebut ditemukan dalam keadaan sihat dan berbogel dengan tali pusat sudah dipotong serta uri ditanam tidak jauh dari tempat bayi itu ditemukan.
(Lokasi bayi ditemukan)
Bagaimanapun timbul perasaan sangsi apabila wanita berkenaan melihat lelehan darah yang turun di betis anaknya itu.
Dia mengakui tidak mengetahui hal tersebut kerana fizikal anak gadisnya yang berisi, selain belum berkahwin.
Wanita tersebut kemudian menghubungi polis, manakala anak serta bayi dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan tersebut dan siasatan lanjut sedang dibuat.
(Ibu remaja yang didakwa melahirkan anak secara sendirian
di Kampung Geting, Kelantan)