fb fb fb fb fb

Tiada kenaikan bil elektrik bawah RM708, RM5.2 bilion subsidi disalurkan

(Nik Nazmi Nik Ahmad)

PUTRAJAYA, 23 Jun- Pengguna domestik voltan rendah di Semenanjung yang menerima bil bawah RM708 sebulan atau kurang 1500 kilowatt jam (kWj) tidak akan terkesan dengan pelarasan takrif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu merupakan 99% daripada pengguna domestik di Semenanjung.

Bagaimanapun, surcaj 10 sen/kWj bagi setiap kWj akan dikenakan kepada pengguna yang melebihi 1500 kWj.

"Selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula Julai 2023, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj," katanya dalam sidang media Pelancaran Tarif Elektrik di sini.

Sementara itu, bagi pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Tambah Nik Nazmi, kategori baharu pengguna bukan domestik membabitkan kesemua operator air dan pembentungan di bawah Kerajaan Negeri antara yang akan menikmati penurunankadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

"Kerajaan pada 16 Jun 2023 telah bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

"Ini bermakna hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang terbaharu ini, manakala pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan akan menikmati penurunan," katanya.

Dalam pada itu, pengguna bukan domestik iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri dan komersil turut menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

Tambah Nik Nazmi, dianggarkan seramai 83,000 pengguna akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum RM187 (25%).

"Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT
tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh Kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya.

Kerajaan berharap agar pemberian subsidi tersebut dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi, sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.

(Sidang media Pelancaran Tarif Elektrik di Putrajaya)

Media Baharu