MEKAH, 23 Jun - Isi kandungan khutbah yang disampaikan di Masjidil Haram setiap kali solat Jumaat, kini boleh difahami jemaah haji dari Malaysia melalui penterjemahan ke dalam Bahasa Melayu.
Ini kerana teks khutbah yang dibacakan imam masjid pasti akan diterjemah terlebih dahulu kepada bahasa melayu bagi memudahkan jemaah haji atau umrah sama ada dari Malaysia atau Indonesia.
Muhammad Mujahid Zaharudin, 26, dari Johor Bahru, Johor yang bertugas sebagai penterjemah di Masjidil Haram sejak Oktober 2022 telah menterjemah antaranya khutbah Jumaat, khutbah Hari Arafah, syarahan dan papan-papan tanda di masjid berkenaan.
Ayah kepada seorang cahaya mata itu berkata dia memohon menjadi penterjemah selepas menghabiskan pengajiannya di Universiti Umm Al-Qura, Mekah dalam bidang Syariah
Katanya, cabaran utama yang dihadapi setiap kali melakukan penterjemahan adalah memastikan teks yang diterjemah tidak mempunyai kesalahan sehingga menjejaskan reputasi kementerian haji dan Umrah Arab Saudi.
"Kalau kami lakukan kesalahan akan jejas reputasi kementeria ini..tahun sebelum ini di bawah Jawatankuasa Masjidil Haram tapi tahun ini bukak tender swasta tapi masih di bawah Masjidil Haram dan Kementerian Haji dan Umrah," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Tambah Mujahid, beliau juga banyak berbincang dengan rakan penterjemah dari Indonesia bagi mencari perkataan yang tepat untuk mengelak salah ketika melakukan terjemahan yang boleh menjejaskan institusi masjid suci umat Islam itu
Jemaah boleh mendengar kandungan khutbah ini secara langsung atau rakaman menerusi aplikasi Manarat Al-Haramain di https://manaratalharamain.gov.sa