fb fb fb fb fb

KEMAS peruntuk RM18.9 juta bantu orang kampung jadi usahawan rintis

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sebanyak RM18.9 juta tahun ini untuk bagi membantu penduduk luar bandar terlibat dengan program keusahawanan.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, ia bagi melatih usahawan-usahawan rintis di seluruh negara untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi hidup.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan membantu mereka yang berkelayakan dengan menyediakan latihan dan bantuan peralatan.

Antara bidang fokus KEMAS adalah latihan kemahiran iaitu jahitan, masakan, dandanan diri, seni tangan dan komputer.

"Kita menumpukan kepada peserta khususnya di peringkat kampung dan akan bantu bimbing mereka dengan memberi latihan serta peralatan.

"Pada masa sama, kita menyasarkan mampu melahirkan kira-kira 1,500 peserta dalam bidang kemahiran di seluruh negara setiap tahun," katanya ketika ditemui pada program Jom Masuk Kampung di Kampung Pulau Manis di sini, hari ini.



Ahmad Kamal Idris berkata, pihaknya menyediakan kursus jangka pendek dan jangka panjang meskipun tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Mereka boleh mengikuti program yang disediakan seperti kursus komputer yang sampai ke tahap dua Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

"Program yang kita tawarkan ini khusus untuk penduduk luar bandar yang mahu menceburi bidang usahawan, namun tidak mempunyai modal dan peralatan," katanya.

Media Baharu