fb fb fb fb fb

Cukai taksiran rumah mampu milik di KL dikurangkan 25%

(Anwar Ibrahim)

KEPONG, 23 Jun- Pengurangan cukai taksiran sebanyak 25% diberikan kepada pemilik rumah mampu milik di Kuala Lumpur bermula penggal kedua tahun ini (Julai hingga Disember 2023).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas 2014 sehingga kini.

Anwar menyifatkan keputusan itu diambil sebagai mengambil kira keluhan yang diterima serta komited membantu mengurangkan beban rakyat.

"Setelah mendengar keluhan ramai daripada kawan-kawan, termasuk pekerja, yang jaga lif, polis bantuan, polis dan di peringkat bawah ini. Mereka minta supaya diberi pengurangan.

"Jadi, saya setuju untuk bagi pengurangan mulai penggal kedua 2023, sebanyak 25% daripada cukai taksiran yang ada sekarang ini," katanya di sini.

Pengurangan cukai taksiran tersebut memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

Anwar berucap pada majlis Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Projek Perumahan Penjawat Awam Metropolitan (PPAM) Kepong dan Perasmian Tempat Letak Kereta (TLK) Bertingkat Taman Tasik Metropolitan di sini.

TLK siap dibina pada April 2020, dengan ketinggian tujuh tingkat dan berkeluasan 256,985 kaki persegi yang mampu menempatkan sejumlah 497 buah kereta. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berharap kemudahan TLK dapat dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya pengunjung Taman Tasik Metropolitan Kepong, serta mampu mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta di sekitar taman tersebut.

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu