(Mayat Kenneth Saing ditemukan pada 7.45 pagi tadi/FOTO APM W.B Labuan)
LABUAN, 23 Jun - Seorang kru kapal tunda yang dipercayai jatuh ke laut ketika kapal itu sedang bersauh ditemui meninggal dunia di perairan Pulau Papan, di sini hari ini.
Kenneth Saing, 33, ditemukan pada 7.45 pagi tadi dilaporkan hilang setelah gagal dikesan oleh rakan mangsa.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan Operasi Carilamat sekitar 9.40 malam tadi sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian daripada Pusat Operasi Maritim, Maritim Malaysia Zon Maritim Labuan.
"Mangsa bekerja di atas kapal tunda tempatan Tanjung Biru 1 dilaporkan hilang setelah gagal dikesan oleh rakannya dan mangsa dilihat kali terakhir pada 6 petang semalam.
"Kesemua barang peribadi mangsa masih lagi berada di atas kapal. Kapal berkenaan dikatakan sedang bersauh sebelum meneruskan pelayaran menuju ke Miri, Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Nudin berkata operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh aset dan anggota daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Mayat Kenneth diserahkan kepada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.