fb fb fb fb fb

FINAS perkasa industri kreatif Sabah dan Sarawak, dana lebih RM3 juta disalurkan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus komited memperkasa ekonomi jingga serta memastikan penggiat industri kreatif di Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelbagai inisiatif pembangunan modal insan dan penyaluran dana telah dilaksanakan bagi memupuk kreativiti serta memperkukuh keupayaan industri kreatif di kedua-dua negeri berkenaan.

Pada tahun 2024, FINAS telah menganjurkan 14 program pembangunan modal insan di Sabah dengan penyertaan 648 penggiat filem, termasuk Program Komuniti@FINAS (KOFI), Bengkel Berlakon Kita Bah dan Sabah Film Lab

Usaha itu diteruskan pada tahun 2025 melalui Sabah Film Lab & Sabah Pitching Training, yang menghimpunkan 120 penggiat industri.

Dalam masa sama, Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1.55 juta disalurkan kepada penggiat filem di Sabah, mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan.

“Antara kejayaan membanggakan ialah tayangan perdana filem Air Mata di Kuala Lumpur di Rotterdam International Film Festival 2024 di Belanda, penyertaan filem pendek Love Grandpa di Vaasa Wildlife Festival 2024 di Finland, serta kejayaan filem Syurga Dalam Botol, penerima Dana DKK kategori First Time Amateur Filmmaker (FAME) pada 2023, yang kini ditayangkan di pawagam tempatan dan telah mencatat kutipan RM1.5 juta setakat Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Datuk Fahmi, bagi industri muzik, sebanyak RM37.76 juta telah disalurkan sejak tahun 2022 melalui DKK oleh MyCreative Ventures, termasuk kejayaan artis Sabah Tuni Sundatang yang memenangi anugerah Best in Asia (Asian Folk) di Los Angeles.

Sementara itu, bagi negeri Sarawak, seramai 282 penggiat industri kreatif telah menikmati manfaat daripada enam program pembangunan modal insan sejak 2024, antaranya One Step Closer dan Program Layar Seni: Tegkang.

Penyaluran Dana Kandungan Kreatif di Sarawak turut meningkat kepada RM1.97 juta pada tahun ini, berbanding RM460,000 tahun lalu, bagi menyokong 10 projek filem baharu.

“Secara tuntas, pelaburan kerajaan terhadap sektor kreatif terus memberi impak positif kepada ekonomi negara, membuka peluang pekerjaan, dan memperkukuh kedudukan industri kreatif Malaysia di peringkat global,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN