fb fb fb fb fb

PRU DUN: 6,000 polis P.Pinang dikerah mengawal keadaan

(Anggota polis Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang)

BUKIT MERTAJAM, 23 Jun- Polis Pulau Pinang sentiasa bersiap siaga untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa tidak lama lagi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seramai 6,000 pegawai dan anggotanya akan dikerahkan untuk bertugas sepanjang tempoh tersebut.

Polis Pulau Pinang juga akan menerima bantuan daripada anggota dari Bukit Aman dan kontinjen negeri lain mengikut keperluan bagi melancarkan lagi proses PRU DUN.

Setakat ini, pihaknya sudah membuat persiapan daripada segi sumber manusia bermula proses penamaan calon, kempen, hari mengundi dan pasca pilihan raya.

"JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Bukit Aman akan bekerjasama dengan JSJ Pulau Pinang. Kita akan buat Ops Cantas sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

"Kita dah bersedia awal dalam persiapan ini dan beberapa mesyuarat juga kita dah buat," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda di sini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan akan membubarkan DUN pada 28 Jun bagi memberi laluan kepada PRU DUN.

Beliau akan mempersembahkan perkara itu kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fusi Abdul Razak dalam masa terdekat.

(Khaw Kok Chin)

Media Baharu