fb fb fb fb fb

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perkukuh kawalan kandungan siber

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak dan golongan rentan daripada risiko pendedahan kepada kandungan berunsur mudarat di media sosial/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak dan golongan rentan daripada risiko pendedahan kepada kandungan berunsur mudarat di media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC melaksanakan kawal selia dan penguatkuasaan berasaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], bagi memastikan kandungan digital yang tidak sesuai dapat dikawal serta diambil tindakan sewajarnya.

Menurut beliau, antara langkah utama ialah pengenaan keperluan pelesenan terhadap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial bermula 1 Januari 2025, di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).

0311 BAHAS FAHMI KESELAMATAN DALAM TALIAN 2Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

“Bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga, MCMC telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial untuk memohon serta mendapatkan lesen ASP(C) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.

“Di bawah kerangka pelesenan ini, terdapat Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang antara lain menggariskan tanggungjawab mereka dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Fahmi turut memaklumkan, dari 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober 2025, MCMC telah mengemukakan 1,521 permohonan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan jelik atau jelik melampau yang melibatkan kanak-kanak.

Daripada jumlah itu, 96 peratus (1,456 kandungan) telah berjaya diturunkan.

Tambah beliau, penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] akan memperkukuh keselamatan siber dan kawal selia kandungan dalam talian.

Katanya, melalui akta tersebut, tanggungjawab dan obligasi akan ditetapkan kepada penyedia aplikasi, kandungan, serta rangkaian yang dilesenkan.

Pada masa sama, MCMC juga sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah akta berkenaan, termasuk memperincikan kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna di platform dalam talian, bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berunsur mudarat serta mengekang penipuan siber.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN