Dapur digital bantu perkasa usahawan B40

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Inisiatif Dapur Digital yang dilaksanakan oleh Pepper Labs terbukti memberi manfaat besar kepada usahawan komuniti, khususnya golongan B40, apabila berjaya menjana pendapatan melebihi RM2.5 juta dalam tempoh 18 bulan.

Kejayaan itu diraikan dalam Majlis Makan Malam Apresiasi Dapur Digital yang menghimpunkan peserta daripada 15 lokasi Dapur Digital sekitar Kuala Lumpur, melibatkan rakan strategik, agensi kerajaan serta pemimpin komuniti.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan tersebut membuktikan model Dapur Digital wajar diperluaskan ke seluruh negara.

“Ini bukan sekadar angka. Kejayaan ini menunjukkan bagaimana kerjasama strategik dan pemerkasaan komuniti mampu menghasilkan impak ekonomi yang mampan,” katanya.

Bagi peserta, program ini membuka peluang baharu dalam meningkatkan pendapatan melalui latihan dan bimbingan yang disediakan secara percuma.

Peniaga, Normah Hamzah berkata, program tersebut banyak membantunya mempelajari kemahiran digital termasuk pemasaran melalui media sosial.

“Akak belajar buat siaran langsung di TikTok untuk tambah pendapatan. Semua kelas percuma di Pepper Labs. Dulu akak tak pernah ada Facebook, sekarang alhamdulillah sudah ada dan boleh berniaga secara dalam talian,” katanya.

Peniaga jalanan, Intan Zarina Rosli pula melihat Dapur Digital sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih besar.

“Bila masuk program ini, kami diberi tempat dan peralatan yang lengkap. Daripada tempahan kecil, sekarang boleh terima tempahan yang lebih besar,” jelasnya.

Suhaili Sharip, juga peniaga menyifatkan ilmu yang diperoleh sepanjang program memberi kesan positif kepada peningkatan perniagaannya.

“Kami belajar macam-macam, daripada pemasaran media sosial, berinteraksi dengan pelanggan hinggalah pengiraan kos perniagaan. Ilmu itu kami praktikkan dan Alhamdulillah perniagaan menunjukkan kemajuan,” katanya.

Bagi Norina Daud, program ini wajar diperluaskan bagi membantu lebih ramai golongan B40.

“Program ini memang terbaik dan patut dikembangkan, daripada hanya berniaga dari rumah, kami dididik dan dibimbing sehingga mampu mendapatkan tempahan besar, termasuk tender kerajaan dan syarikat besar.

“Kejayaan ini memberikan rasa bangga pada diri dan keluarga,” katanya.

Pepper Labs menegaskan komitmen untuk terus menyokong inisiatif berimpak tinggi yang memperkasa komuniti, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, dengan perancangan menambah 15 lokasi baharu di seluruh negara.