SERDANG, 7 Julai- Dana hampir RM1 bilion setiap tahun diluluskan bagi tempoh 10 tahun, demi menjamin kelangsungan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penyaluran dana pembiayaan sukuk FELDA tertangguh sebelum ini disebabkan komitmen kerajaan untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi.
"Pembiayaan sukuk FELDA tertangguh dan untuk teruskan dana pembiayaan sukuk yang tertangguh sebelum ini, saya dengan dukungan Jemaah Menteri, meluluskan dana sehingga RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun kepada FELDA," katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kualiti hidup warga FELDA.
Untuk itu, FELDA akan dijadikan sebagai peneraju transformasi digital menerusi program Digital MADANI, yang akan memperkasa ekonomi gig.
"Program dengan kerjasama MDEC ini akan dilaksanakan di 30 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang dikenal pasti di seluruh negara, serta program jangka panjang di Kolej Yayasan FELDA di Kelana Jaya," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Anwar turut mengumumkan pembinaan 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah FELDA dan sebuah lagi di premis Yayasan FELDA, Kelana Jaya.
"Pembinaan pusat dialisis ini dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan FELDA yang selama ini terpaksa menempuh perjalanan sehingga dua jam bagi mendapatkan rawatan dialisis," tambah beliau.
Bagi menjamin aspek penjagaan kesihatan kepada peneroka asal yang telah berumur, pengenalan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 diperkenal.
Menurutnya, insentif khas bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas itu akan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM21.21 juta dan bakal memberi manfaat kepada 70,715 orang peneroka.
Kerajaan juga kata beliau, bersetuju untuk menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan FELDA seluruh negara, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun.
Terdahulu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam ucapan pada majlis tersebut turut mengetengahkan agar perkara itu disegerakan.
Dalam ucapannya, perdana menteri menegaskan, kerajaan tidak meminggirkan warga peneroka yang berada di Sabah.
Sejak Julai 2021, FELDA telah membelanjakan hampir RM128 juta bagi penjanaan tenaga serta rawatan dan pembekalan air bersih di Kompleks Sahabat, Umas dan Kalabakan.
"Sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan, (kelima) saya mengumumkan subsidi diesel berjumlah RM36 juta setahun ditampung oleh kerajaan bagi operasi penjanaan tenaga dan rawatan air yang akan memberi manfaat kepada hampir 43,000 penduduk di kawasan tersebut," katanya.
Turut disentuh penyelesaikan isu Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai.
Perdana menteri memberitahu, kerajaan akan menyediakan peruntukan sewajarnya bagi segera menyiapkan baki 283 unit perumahan PGBF.
"Kerajaan juga akan mempertimbangkan usaha drastik bagi membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain seperti sawit, kelapa atau yang bersesuaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing," tambah beliau.