NAIROBI, 7 Julai- Malaysia optimis dengan pengembangan eksport minyak sawit di pasaran Afrika Timur.
Ini dapat dilihat menerusi kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Nairobi, Kenya pada 3 hingga 7 Julai.
Fadillah memfokuskan komitmen Malaysia dalam mempromosi pengeluaran minyak sawit mampan di pasaran, selain memperkukuh hubungan ekonomi dengan Kenya serta negara Afrika lain.
Kunjungan Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi, dimulakan dengan penyampaian ucaptama dan perasmian Malaysian Palm Oil Forum-East Africa Region 2023.
Forum yang menampilkan pemain industri tempatan dan pakar bidang sawit antarabangsa dari Malaysia, Eropah dan Kenya ini, berjaya mencapai objektifnya.
Fadillah berkata maklum balas diterima begitu baik dan kita mengharapkan perkara ini diteruskan.
"Mereka melihat bahawa potensi minyak sawit terutamanya dalam hal yang menyumbang bukan sahaja kepada ekonomi Kenya tetapi keperluan penduduk.
"Mereka memerlukan sokongan daripada Malaysia untuk membekalkan keperluan minyak sawit mentah.
"Saya menzahirkan komitmen Malaysia dalam menyediakan produk minyak sawit dengan harga berpatutan dan mampan kepada Afrika.
"Malaysia juga sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam sektor perladangan kelapa sawit," katanya kepada pemberita di sini.
Selain forum, pertemuan diadakan bersama Setiausaha Kabinet Perdana Kenya, Musalia Mudavadi dan Setiausaha Kabinet Pertanian dan Pembangunan Ternakan Kenya, Mithika Linturi.
"Mereka telah bersetuju untuk kita mewujudkan jawatankuasa bersama dan daripada jawatankuasa itu akan diperincikan kerjasama yang boleh kita jalinkan untuk kita memperkukuhkan lagi dagangan antara dua negara yang memerlukan," katanya.
Kunjungan ke beberapa kilang pemprosesan minyak sawit dan syarikat pengeluaran makanan utama di Kenya juga memberikan impak positif terhadap kerjasama strategik Malaysia-Kenya.
(Forum yang menampilkan pemain industri tempatan dan pakar bidang sawit
antarabangsa dari Malaysia, Eropah dan Kenya ini, berjaya mencapai
objektifnya)